Perdana Menteri yang cemerlang, gemilang dan terbilang
Monday, 07 January 2008
Oleh Fudzail
“I do not know if I am a good leader, but I am a leader. And I have a vision. I look to the future, 20, 30 years. I learned that from my father, Sheikh Rashid. He was the true father of Dubai. I follow his example. He would rise early and go alone to watch what was happening on each of his projects. I do the same. I watch. I read faces. I take decisions and I move fast. Full throttle.”
- HH Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum Vice-President and Prime Minister of UAE, Ruler of Dubai
Bagi kami yang menumpang di bumi UAE, rasa bertuah untuk bernaung di bawah seorang Perdana Menteri yang terserlah ketokohan dalam dunia Arab yang penuh dengan kacau-bilau.
Perdana Menteri yang tidak berkata, ‘bekerja dengan saya bukan untuk saya’ atau bersajak ‘mencari mana dia ghazali shafie’, tidak tidur dalam mesyuarat atau majlis, dan tidak juga memperkenalkan mazhab baru. Perdana Menteri berwajah garang yang berkarisma tinggi ini kuat bekerja, selain penyair hebat, aktif dalam sukan hingga ke peringkat dunia, beliau berjaya menguruskan ekonomi dan pembangunan negara dengan cekap.Itulah Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang dilantik sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dua tahun lalu (5 Januari 2006).Walaupun UAE bukan sebuah negara demokrasi berparlimen, namun beliau jauh lebih baik dari perdana menteri yang menang besar melalui pilihanraya yang tidak bersih, bebas, telus dan terbuka.
Beliau yang turut dikenali dengan nama Sheikh Mo, telah membuktikan kemampuan sebagai Putera Mahkota Dubai dan de facto Emir Dubai sejak Januari 1995 sepanjang aruah abangnya, Sheikh Maktoum menjadi Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE.Beliau mempunyai dua orang isteri. Dimana isteri kedua yang dinikahi dalam tahun 2004 ialah Puteri Haya http://www.princesshaya.net/ dari Jordan.Dianugerahkan seramai 17 orang anak, 7 lelaki dan 10 perempuan.Biografinya boleh di dapati di http://www.sheikhmohammed.ae/ dan
http://en.wikipedia.org/wiki/Mohammed_bin_Rashid_al-Maktoum Politik dan maklumat lain UAE boleh di dapati di http://www.government.ae/
Pembangunan tersusun Dubai sepanjang beliau menjadi Putera Mahkota, dari pembinaan Burj Al Arab (hotel tujuh bintang) diikuti dengan inisiatif mega seperti Internet City, Media City dan Healthcare City, selain pemodenan Lapangan Terbang dan prasana pengangkutan, jalanraya serta utiliti merangsang pertumbuhan ekonomi yang tidak lagi bergantung kepada hasil petroleum.
Beliau meneruskan pembangunan Dubai dengan projek ikonik seperti trilogi pulau Palm (Jumeirah, Jebel Ali, Deira), The World, Lapangan Terbang terbesar dunia, Burj Dubai sebagai struktur tertinggi dunia, Dubailand dengan 45 taman tema mega dan lain-lain yang berjumlah trilion USD.Tidak seperti emiriyah Abu Dhabi yang mempunyai hasil petroleum dan gas melimpah sehingga 100 tahun lagi, Dubai memerlukan suntikan baru dalam meneruskan kejayaan sebagai pusat perdagangan dan bisnes di rantau Teluk, kalau tidak Timur Tengah.nStrategi Sheikh Mo dalam mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan menjadikan bidang kewangan, pelancungan, hartanah dan sektor servis sebagai enjin pertumbuhan. Meningkat global dan terbukti berhasil melalui kejayaan Emirates Airlines dan Dubai Ports World, sekadar dua contoh gergasi dari UAE.nRamai yang sebelum ini begitu skeptikal dengan apa yang beliau rancang untuk menjadikan Dubai sebagai pusat kemajuan dalam pelbagai bidang, termasuk saya yang menjadi salah seorang staf pelopor untuk projek Dubai Internet City (DIC). DIC terbina dalam masa setahun dan dalam tahun 2001, perdana menteri Malaysia ketika itu yang terhidu kegagalan MSC dan Cyberjaya berbanding DIC walau lebih awal dibangunkan, datang membuat lawatan selama sehari.
Kini dengan perubahan drastik dan ketara meliputi pelbagai sektor, Sheikh Mo muncul sebagai ikon dan idola baru generasi semasa yang memberi inspirasi.
Begitupun, walau kami yang sudah cukup kagum melihat perubahan luar biasa Dubai sejak sedekad, beliau sentiasa menegaskan yang pembangunan Dubai ketika ini hanyalah 10% dari wawasannya!Sheikh Mo turut menyumbang berbilion dollar ke arah kebajikan seperti USD10 bilion dari poket sendiri untuk memajukan pendidikan dan keilmuan dunia Arab dan Islam.
Inisiatif seperti Dubai Cares memberi peluang kepada 1 juta kanak-kanak miskin seluruh dunia untuk mendapat pendidikan yang baik.Kepimpinan Sheikh Mo berjaya mengubah bukan sahaja lanskap gurun dan teluk Arab, tetapi juga mentaliti dan sikap rakyat tempatan terhadap peluang yang ada.Warga emirati yang hanya dalam 10 peratus dari jumlah penduduk mempunyai pendapatan per kapita tertinggi di dunia.Beliau suka membuat lawatan mengejut bila-bila masa sahaja. Dengan kuasa yang ada padanya, beliau boleh membuang, menukar dan menaik pangkat kakitangan kerajaan mengikut prestasi.Sempena tahun 2008, untuk membantu dari kesan inflasi dan kos hidup yang memang tinggi, beliau menaikkan gaji kakitangan kerajaan sehingga 70%.
Ketika ini UAE masih lagi bebas cukai buat semua rakyat, penduduk lain dan syarikat yang beroperasi.Begitupun matawang Dirham terjejas dengan kejatuhan Dollar kerana Dirham ditambatkan kepada Dollar.Corak kepimpinan hands-on menjadikan beliau amat digeruni.
Sejak menjadi perdana menteri, bukan sahaja meneruskan lawatan mengejutnya ke merata pelusuk tanah UAE, malah membawa jemaah kabinetnya bermesyuarat di serata lokasi luar kota.Keprihatinannya terhadap rakyat sendiri dibuktikan dengan siri projek segera seperti pembinaan puluhan ribu vila untuk mereka yang tidak mampu.Sekurang-kurangnya kekayaan hasil negara dikongsi bersama rakyat dengan sebaiknya melalui pelbagai program berfaedah seperti pendidikan dan perumahan.Dengan membariskan kepimpinan peringkat nasional yang muda, berwibawa, berkualiti dan sama kuat bekerja, Sheikh Mo memastikan segala yang dirancangkan menepati sasaran.Ahli kabinetnya, selain dari keluarga diraja Abu Dhabi yang berpengaruh dan abangnya, adalah dari rakyat biasa golongan profesional.Bukan tidak ada kesukaran, kelemahan dan kegagalan, mahupun cabaran lain seperti persaingan tradisional antara kabilah dan emiriyah yang autonomi, apalagi politik sesama keluarga sheikh, namun yang pasti bagi saya sebagai ekspatriat yang menumpang rezeki dan rahmat sejak hampir sedekad lalu, sesungguhnya Dubai dan UAE umumnya amat bertuah mempunyai seorang perdana menteri yang cemerlang, emilang dan terbilang!
KALAM HIKMAH :
" Agama buat kehidupan di akhirat, harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara" -(Saidina Abu Bakar As-Siddiq )
" Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " -I mam Umar bin Abdul Aziz
__._,_.___
No comments:
Post a Comment